Pakai baju Melayu seluar hitam, Salahuddin terima surat Istana Johor

Ia selepas gambarnya memakai baju Melayu cekak musang dan seluar hitam ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tersebar di media sosial.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menerima surat daripada Jemaah Majlis Diraja Johor berkenaan peraturan pakaian negeri itu.

Ia selepas gambarnya memakai baju Melayu cekak musang dan seluar hitam ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tersebar di media sosial.

Malaysiakini melaporkan, sumber dalam kementerian itu mengesahkan Salahuddin menerima surat tersebut pada 20 Jun lalu.

Surat itu bertarikh 9 Jun 2019 dan ditandatangani Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor Abdul Rahim Ramli.

“Adalah saya dengan hormatnya melampirkan bersama ini sesalinan Percanangan Dalam Bil: 2/2019 bertarikh 2 Jun 2019 berkenaan peraturan pakaian Johor.

“Jumaah Majlis Diraja berharap Yang Berhormat Dato’ sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor,” kata Abdul Rahim.

Perkara itu mula menjadi perhatian apabila Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengongsikan gambar itu di Instagram pada 5 Jun – iaitu hari raya pertama – diiringi petikan: “Yang ini pula tradisi nak jadi perdana menteri dan Sultan Johor pada masa yang sama.”

Dalam satu hantaran berbeza, Tunku Ismail mengongsikan gambarnya bersama adik-beradik dan Sultan Johor berbaju Melayu teluk belanga dan berseluar hitam.

Tunku Ismail berkata ia merupakan pakaian tradisi keluarga diraja Johor.

“Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

“Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam. Kerana hanya keluarga di raja dan atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam,” katanya.

Hantaran itu turut menjadi perbincangan hangat dengan ramai yang mengkritik kenyataan “helang dan pipit” yang dipercayai sebagai kiasan perbezaan darjat antara golongan diraja dengan orang kebanyakan.

“Kau jangan lupa helang dan pipit terbang tak sama tinggi. Kau baik tahu tempat masing-masing dan angan-angan itu rendahkan sikit daripada rumput,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Salahudin berhubung perkara tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripadanya.