Tidak adil persoal Azmin tak hadir mesyuarat PKR: Anwar

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan tidak perlu timbul persoalan sedemikian dalam situasi yang sangat menyukarkan sekarang terutamanya kepada Mohamed Azmin.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakappada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di Ibu Pejabat PKR Merchant Square hari ini. -Foto Bernama

PETALING JAYA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat tidak adil untuk mempersoalkan ketiadaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam beberapa mesyuarat parti sejak kebelakangan ini.

Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan tidak perlu timbul persoalan sedemikian dalam situasi yang sangat menyukarkan sekarang terutamanya kepada Mohamed Azmin.

“Saya fikir pendirian kami sejak dari awal, kami sentiasa menolak politik kotor. Jadi, kami tidak berada dalam keadaan untuk mempersoalkan atau membincangkan isu ini. Pendirian ini juga sama dengan pendirian Biro Disiplin PKR.

“Saya rasa tidak adil untuk persoalkan kehadiran beliau (Mohamed Azmin) dalam situasi yang sangat menyukarkan sekarang,” katanya ketika ditanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar menegaskan anggota parti boleh mengkritik kepimpinan PKR namun mereka dilarang membuat tohmahan kepada pimpinan parti tanpa ada alasan atau fakta seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Lembaga Disiplin telah kemukakan kepada Biro Politik pandangan mereka bahawa mereka akan tegas terhadap mana-mana kenyataan yang berunsur fitnah atau tidak berasaskan fakta yang dilemparkan kepada kepimpinan parti.

“Amaran akhir telah dibuat minggu lalu dan kepimpinan biro politik dan pusat bersetuju untuk serahkan kepada Lembaga Disiplin untuk bertindak tegas kepada siapa yang melanggar peraturan ini.

“Boleh kritik termasuk tegur saya sebagai presiden, tiada masalah tapi tidak boleh membuat tohmahan untuk mencabar pimpinan tanpa apa alasan atau fakta seperti yang berlaku baru-baru ini,” tegas beliau.