Agong saran warga istana sertai sukan gunung

Baginda bertitah, hal ini bukan sahaja melatih disiplin dan semangat juang yang tinggi, bahkan turut merapatkan ukhuwah bersama media.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatudin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah memberi saranan kepada warga istana untuk menyertai sukan lasak mendaki gunung.

Baginda bertitah, hal ini bukan sahaja melatih disiplin dan semangat juang yang tinggi, bahkan turut merapatkan ukhuwah bersama media.

“Program pendakian sebegini membuatkan saya mengimbau latihan ketenteraan yang saya pernah lalui. Terus terang saya cemburu. Kenapa Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik (Naizi Hussin) tak ajak saya masa saya muda dulu.

“Saya harap warga istana dan pegawai pegawai akan turut melibatkan diri dan berminat dengan aktiviti mendaki seperti ini. Ia membentuk semangat setiakawan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan meraikan 22 peserta program eksplorasi Gunung Syue, Taiwan 2019, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Program anjuran Kelab Media Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBPM) akan berangkat ke Taipei, Taiwan pagi esok.

Peserta program membabitkan 16 wartawan dan jurugambar mewakili pelbagai agensi media yang berkhidmat di Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur.

Antara pendaki mewakili pegawai kanan JBPM ialah Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohamad dan Ketua Special Tactical Operation And Rescue Malaysia (STORM), Haziq Hazmi.

Manakala Media Pahang antaranya disertai Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin dan wartawan TV3 Fazli Ahmad selaku ketua ekspedisi serta peserta veteran berusia 58 tahun, Bazaie Ahmad yang merupakan jurugambar TV3

Kesemua para pendaki dijangka mendaki Gunung Syue atau Snow Mountain, Taiwan setinggi 3886 meter dari aras laut selama empat hari mulai pagi Rabu ini.

Di majlis ini Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah turut perkenan menyerah Jalur Gemilang, bendera Pahang dan bendera JBPM untuk dibawa pendaki hingga ke puncak.

Menurut Nik Naizi, Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan Program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

“Antara gunung yang pernah didaki Gunung Fan Si-Pan, Vietnam, Gunung Kerinci, Indonesia, Gunung Pulag, Filipina, Pangkalan Hadapan Annpurna (ABC), Nepal dan Gunung Daik, Indonesia.

“Matlamat penganjuran aktiviti pendakian ini adalah untuk membina kecergasan fizikal dan mental di kalangan pengamal media.

“Program ini juga dapat membina kerjasama dan disiplin dalam kalangan peserta selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama pendaki,” katanya.