Hudud telah berkubur di Muktamar Pas?

Jika suatu ketika muktamar terdahulu keris panjang menjadi simbolik namun kali ini lemang terpanjang pula mengambil tempatnya.

Muktamar Pas 2019 telah melabuhkan tirainya namun ada beberapa kejutan yang dijangka dibahaskan dan tidak kurang kejutan yang tidak dijangka turut berlaku.

Umun tahu inilah mutkamar kali pertama pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiap kali berlakunya perhimpunan parti politik terdapat pelbagai gimik yang pastinya berlaku.

Jika suatu ketika muktamar terdahulu keris panjang menjadi simbolik namun kali ini lemang terpanjang pula mengambil tempatnya.

Bagaimanapun semua hanya picisan daripada apa yang harus diperkatakan oleh semua rakyat dalam negara ini.

Seharusnya yang lebih difokuskan adalah isi perbahasan dan usul yang diangkat oleh seluruh perwakilan dan pimpinan parti yang terasas daripada Umno sekain lama dahulu.

Ibarat sirih pulang ke gagang, kali ini Pas telah meluluskan suatu usul berkaitan hubungan politik bersama Umno.

Setelah sekian lama ianya ternafi tapi kali ini khabar angin tersebut sudah pun direalisasikan selepas puas mereka bersilat selama ini untuk kekal relevan di mata pengikut dan penyokong.

Tak mampu terbayang jika gemulah Tok Guru Nik Aziz masih bernafas.

Tidak terlambat untuk kita mengucapkan tahniah kepada Pas dan Umno.

Selain dari suara Dewan Himpunan Penyokong Pas yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada UEC serta kehadiran saudara Zamri Vinoth, ada sesuatu yang kurang atau barangkali tidak sekali pun disebut dalam muktamar kali ini secara serius adalah perihal hudud.

Sengaja saya mencuit tentang hudud kerana antara penyebab besar kocakan dalam Pakatan Rakyat dahulu adalah berkisar hudud dan Rang Undang-undang 355.

Bahkan pernah terjadi suatu situasi di mana ruang memulakan perbahasan berkenaan rang undang-undang tersebut namun diminta ditangguhkan oleh Presiden Pas sendiri di Dewan Rakyat.

Maka apakah agenda melaksanakan hudud bakal menjadi agenda bersama Pas dan Umno jika diberi peluang memerintah Malaysia kelak.

Selain dari mereka perlu memilih siapa yang wajib diangkat sebagai ketua dalam tahalluf terbaru ini persoalan hudud juga perlu dibincangkan.

Mengapa?

Kerana bagi Pas itulah penyebab mengapa mereka terpaksa menolak kerjasama bersama DAP dahulu.

Namun yang lebih Pas kedepankan ketika ini ialah tahalluf mereka bersama Umno manakala hudud mungkin bukan lagi keutamaan jika dilihat dari muktamar yang berlangsung.

Begitulah bagaimana agama itu ditunggang sehabisnya demi meraih kuasa.

Apabila Pas yang buat segala macam dalil diangkat membenarkan segala perbuatan mereka, seperti Islam yang mengikut Pas dan bukan Pas yang mengikut Islam.

Lihat apa yang bakal berlaku nanti, umum juga tahu Umno dan Pas mempunyai pendirian yang berbeza namun kini mereka bersama atas dasar mahu mengangkat persepsi bahawa kerajaan hari ini tidak mesra Islam serta Melayu.

Walhal pada zaman Umno memerintah dulu royalti petroleum di Terengganu ketika dibawah pemerintahan Presiden Pas pernah dinafikan.

Jika benar mereka mahu bertahalluf, sudah tentu akan dilantik wakil Umno dalam pemerintahan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu begitu juga sebaliknya di negeri yang diperintah Umno.

Ini juga sebahagian suara perwakilan muktamar yang hadir.

Akhirnya yang kekal misteri adalah halatuju hudud yang dilaung Pas selama ini.

Apakah jawapannya nanti hampir sama seperti hujah penerimaan warga Memali kepada Umno oleh Presiden Pas?

Mungkin nanti hudud akan terpadam lalu membenarkan tanggapan penulis bahawa hudud hanya menjadi alat untuk Pas dilihat memperjuangkan Islam sedangkan mereka sendiri tidak serius.

Muhammad Syafiq Azmi
Mantan Ketua Pemuda Amanah Melaka

Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily.