Jawapan Mukhriz sama seperti Najib

Ketua pemuda Umno negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah menolak jawapan Najib yang mengatakan tidak tahu mengenai dana yang didakwa masuk ke akaunnya dalam isu SRC International Sdn. Bhd.

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir melalui keadaan sama seperti bekas perdana menteri, Najib Razak apabila mengatakan tidak tahu mengenai dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun Umno Kedah.

Ketua pemuda Umno negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah menolak jawapan Najib yang mengatakan tidak tahu mengenai dana yang didakwa masuk ke akaunnya dalam isu SRC International Sdn. Bhd.

“Sama seperti kes SRC, Mukhriz juga masih perlu tandatangan untuk menggunakan wang itu (dana didakwa dari 1MDB) sebagai pengerusi ketika itu.

“Jika kenyataan Mukhriz boleh diterima (oleh Dr. Mahathir) maka kenyataan Najib juga sepatutnya diterima jika menggunakan logik yang sama,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Semalam Mukhriz yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri mengakui tidak tahu mengenai dana 1MDB yang disalurkan ke akaun Umno Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, segala urusan berkaitan dana ketika itu diserahkan sepenuhnya kepada bendahari Umno negeri, Azeez Abdul Rahim.

Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut SPRM mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Umno Kedah.

Untuk rekod Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 29 Mei lalu, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata Najib  terkejut dan sedih apabila mengetahui RM42 juta dipindahkan dari akaun Ihsan Perdana ke akaun AmIslamic miliknya.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Shamsul berkata Najib tidak membuat sebarang laporan walaupun kelihatan terkejut dengan berita berkenaan.