Pekan sehari Benta jadi tumpuan dapatkan barangan tradisional

Pekan sehari sepanjang kira-kira 300 meter di kawasan hentian bas Benta itu menyajikan pelbagai pilihan barangan sama ada barangan moden dan juga tradisional untuk pelanggannya.

Meriahnya pekan sehari Benta. Itu yang dapat digambarkan apabila mengunjungi pasar minggu yang terletak di daerah Lipis, Pahang itu.

Pekan sehari sepanjang kira-kira 300 meter di kawasan hentian bas Benta itu menyajikan pelbagai pilihan barangan sama ada barangan moden dan juga tradisional untuk pelanggannya.

Sinar Harian melaporkan, keunikan yang terdapat di pekan sehari Benta adalah barangan tradisionalnya.

Pengunjung boleh menemui gula kabung yang jarang ditemui di tempat lain selain asam rong daripada buah perah, keladi kemahang, jeruk maman, sambal hitam serta pucuk-pucuk kayu yang lazimnya digunakan untuk membuat nasi ulam.

Bagi peminat makanan pula, kuih seperti tepung talam, talam ubi kayu, badak berendam manjadi pilihan pengunjung.

Malah keenakan kopi Benta juga turut menjadi pilihan di mana rasanya tidak pernah berubah sejak puluhan tahun lalu.

Selain itu, pengunjung juga boleh membeli ikan patin, talapia serta ikan-ikan sungai lain di pekan sehari dengan harga yang berpatutan.

Bagi pengunjung yang hendak ke pekan sehari yang dibuka setiap Ahad itu, mereka perlulah datang lebih awal iaitu selepas solat Subuh dan sekiranya terlewat, maka mereka akan terlepas untuk membeli barangan yang jarang ditemui di tempat lain.

Selain pekan sehari Benta, di Pahang terdapat banyak lagi pekan sehari lain yang cukup terkenal dengan keunikannya.

Oleh yang demikian, penduduk mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk mengunjungi pekan sehari di tempat masing-masing untuk membeli barangan keperluan harian dengan harga murah selain dapat bertemu rakan di kedai-kedai makan berhampiran.