Tiga maut nahas kereta, bas

Dalam kejadian itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhamad Syahidi Ahamad Kamil dan Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin, masing-masing berusia 24 dan seorang lagi mangsa belum dikenalpasti.

Tiga lelaki dilaporkan maut dalam nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dan bas persiaran di Jalan Gerik – Kupang berhampiran persimpangan Kampung Tanjung Kala, Gerik, hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, dalam kejadian itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhamad Syahidi Ahamad Kamil dan Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin, masing-masing berusia 24 dan seorang lagi mangsa belum dikenalpasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 5.11 petang.

Kemalangan maut yang mengorbankan tiga nyawa turut membabitkan sebuah bas namun, penumpang dan pemandu dilaporkan selamat.

“Maklumat awal mendapati terdapat empat mangsa dalam kereta itu dan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Anggota bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Keadaan kereta Perodua Myvi yang remuk akibat kemalangan.

Menurutnya, seorang lagi lelaki mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan.

“Penumpang dan pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Operasi tamat pada jam 6.28 petang.