Wan Rosdy puji kakitangan awam Pahang berjaya tingkatkan hasil negeri

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kakitangan awam yang komited dengan tugas berupaya meletakan majikan mereka pada landasan sebenar sebagai peneraju diperingkat negeri dan boleh membawa banyak kemajuan kepada negeri.

KUANTAN, Kakitangan awam Pahang perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri dapat terus berjalan lancar mengikut acuan yang disediakan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kakitangan awam yang komited dengan tugas berupaya meletakan majikan mereka pada landasan sebenar sebagai peneraju diperingkat negeri dan boleh membawa banyak kemajuan kepada negeri.

Katanya, pendapatan negeri yang kini semakin bertambah berbanding tahun lalu banyak disumbangkan oleh kesungguhan kakitangan awam disemua peringkat jawatan samaada di peringkat daerah mahupun negeri.

“Saya memberi jaminan sekiranya pendapatan negeri terus bertambah kerajaan juga akan menambah jumlah bayaran bonus, sebagai contoh bonus tahun ini sebanyak RM600 diagihkan kepada kakitangan awam lebih dari tahun lepas, namun pada tahun hadapan mungkin akan ditambah lagi, katanya,” sambil diberi tepukan gemuruh oleh semua Kakitangan Kerajaan yang hadir.

“Hasil kerajaan negeri wajar dikongsi dengan kakitangan awam yang banyak menyumbang tenaga untuk mencatat kemajuan,” katanya pada Majlis Perutusan Kepada Penjawat Awam Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Bin Haji Muhamad, Barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Program berkenaan disertai lebih 3,000 kakitangan awam dari pelbagai jabatan.

Beliau juga berkata, kerajaan Pahang kini berusaha menambah sumber pendapatan lain bagi memastikan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan pusat. Kerajaan negeri menyasarkan pendapatan tahun ini lebih RM703 juta dan ia tidak mustahil dapat dicapai hasil kerjasama dan sokongan semua pihak.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terus menjadi penyumbang utama hasil kerajaan negeri tahun ini dan Kerajaan negeri giat berusaha menambah pendapatan daripada pelbagai sumber yang ada, tidak hanya bergantung kepada beberapa sumber sebelum ini sahaja,” katanya.