Dr Mahathir nafi jadi PM untuk tiga tahun

Sebaliknya, Mahathir berkata tempoh tersebut adalah sebagai "membetulkan kerja."

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau akan memegang jawatannya itu selama tempoh tiga tahun sebelum menyerahkannya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mahathir berkata tempoh tersebut adalah sebagai “membetulkan kerja.”

“Saya tak kata tiga tahun.. Tapi nak betulkan kerja,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis rumah terbuka Kumpulan Maju di South Lake Residence, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan berita CNBC kelmarin, yang mengatakan bahawa beliau tidak akan memegang jawatan tersebut melampaui tempoh tiga tahun.

“Setakat yang saya tahu, saya telah berjanji bahawa saya akan berundur dan Anwar akan menggantikan saya,” kata perdana menteri kepada wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand ketika Sidang Kemuncak Asean.

Ditanya sekiranya beliau akan berkhidmat hingga isu hutang negara diselesaikan, Mahathir berkata: “Tidak, saya tidak akan melampaui tiga tahun.”

Sebaliknya, beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk membolehkan Malaysia “menyelesaikan masalah ini (hutang)” walaupun selepas beliau bersara.

Dalam perkembangan lain, Mahathir turut mengulas mengenai pertemuannya dengan ahli Parlimen Port Dickson itu hari ini, berkata ia merupakan pertemuan biasa dan bukannya berhubung isu peralihan kuasa.

“Kita cakap biasa saja. Tak ada apa,” katanya.

Persoalan bilakah Mahathir akan berundur dan siapa bakal penggantinya menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan bulan lalu, Mahathir menegaskan beliau merupakan perdana menteri sementara tetapi berkata: “Saya tidak tahu sama ada tiga tahun atau dua tahun.”

Tiada tempoh garis masa yang dipersetujui secara terbuka bagi peralihan kuasa itu menyaksikan gesaan yang kuat daripada penyokong Anwar agar Mahathir berundur.

Sementara itu, penyokong Mahathir pula meminta beliau mempertimbangkan untuk kekal lebih lama memegang jawatan itu.

Anwar berkali-kali mengatakan beliau tiada keraguan bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.