Empat beranak hidup bergelandangan selepas ditinggal suami

Bertindak atas aduan, Skuad Zakat Selangor segera ke lokasi dan menemui seorang wanita warga Indonesia serta tiga kanak-kanak warga tempatan tidur beralaskan rumput di tepi jalan.

Empat beranak yang menjadikan kaki lima bangunan serta bahu jalan sekitar daerah ini sebagai tempat tinggal dipercayai sejak lebih sebulan lalu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa terlibat untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian melaporkan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam akaun Facebook rasminya memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung satu keluarga yang dilihat bergelandangan di sekitar kawasan Shah Alam.

Bertindak atas aduan, Skuad Zakat Selangor segera ke lokasi dan menemui seorang wanita warga Indonesia serta tiga kanak-kanak warga tempatan tidur beralaskan rumput di tepi jalan.

Anak-anak kepada wanita tersebut yang didapati tidur beralaskan rumput ketika ditemui – FOTO IHSAN FB LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

“Semakan mendapati empat beranak ini hidup gelandangan selepas suami wanita yang merupakan seorang lelaki warga tempatan meninggalkannya bersama anak-anak tanpa tempat tinggal dan duit belanja sejak enam bulan lalu.

“Kesemua mereka pernah pulang ke Indonesia tahun lalu namun kembali semula ke negara ini tanpa hala tuju,” katanya.

Menurutnya, semakan pasport milik wanita itu mendapati dia hanya menggunakan visa pelawat yang telah tamat tempoh.

“Oleh kerana kes ini di bawah akta perlindungan kanak-kanak dan akta warga asing, maka kami bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.