Bersatu mungkin tangguh pemilihan parti – Laporan

Ini bagi mengelakkan risiko parti berkenaan dibatalkan pendaftaran kerana penangguhan akan memastikan semua bahagian dapat memenuhi ketetapan dalam Akta Pertubuhan 1966, kata beberapa sumber kepada TMI.

Bersatu dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan pemelihan kepimpinan partinya yang pertama.

Parti yang ditubuhkan pada September 2016 itu perlu memilih kepimpinannya setiap tiga tahun.

The Malaysian Insight (TMI) memetik sumber melaporkan Bersatu akan menunda pemilihan parti selama enam bulan ke setahun.

Ini bagi mengelakkan risiko parti berkenaan dibatalkan pendaftaran kerana penangguhan akan memastikan semua bahagian dapat memenuhi ketetapan dalam Akta Pertubuhan 1966, kata beberapa sumber kepada TMI.

“Kami ada beberapa bahagian yang gagal ditubuhkan dalam tiga bulan selepas pendaftaran diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS),” kata sumber.

Seksyen 12 Akta Pertubuhan memperuntukkan sesuatu bahagian parti hanya boleh ditubuhkan selepas mendapat kelulusan yang sah untuk tiga bulan kecuali ROS memberikan tempoh lanjutan kepada bahagian itu.

Setiasaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata masih tiada sebarang kata putus mengenai penangguhan pemilihan parti itu.

Dilaporkan juga Bersatu akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Julai ini bagi meminda perlembagaan parti.Iklan

Pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad berkata hal ini penting bagi membetulkan sebarang kekurangan dan menjadikan pentadbiran parti berjalan dengan lancar.

Fasal 13.3 perlembagaan parti menyatakan pemegang jawatan tertinggi dan jawatankuasa seramai 15 anggota mesti dipilih melalui perhimpunan agung tahunan parti pada setiap tiga tahun.

Perlembagaan parti tidak menyebut mengenai penangguhan pemilihan.

Marzuki enggan memberikan butiran mengenai pindaan perlembagaan parti yang akan dicadangkan dalam EGM.

“Kami akan mengadakan siri jelajah pada bulan Julai untuk mengumpulkan maklum balas dan menjelaskan pindaan tersebut kepada anggota kami,” katanya.