‘Google’ jadi pilihan nama anak

Inspirasi untuk meletakkan nama berkenaan diperoleh pasangan berkenaan ketika kandungan berusia tujuh bulan.

Pasangan suami isteri dari Indonesia, Andi Cahya Saputra, 31, dan Ella Karina, 27, sepakat menamakan anak mereka yang lahir pada 30 November lalu dengan nama Google.

Astro AWANI yang memetik laporan portal berita tempatan Kumparan melaporkan, inspirasi untuk meletakkan nama berkenaan diperoleh pasangan berkenaan ketika kandungan Ella berusia tujuh bulan.

Andi berkata, pada awalnya, dia dan Ella mempunyai pilihan nama lain seperti Microsoft, iPhone, iOs, Windows dan sebagainya.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menukar fikiran iaitu Google.

“Namanya Google. Hanya satu perkataan, G-o-o-g-l-e,” katanya kepada Kumparan.

Sementara itu, portal Coconuts Jakarta pula melaporkan Andi sebagai berkata, untuk tempoh tiga bulan pertama, isterinya akan menjawab ‘baby boy’ setiap kali orang bertanyakan nama anaknya yang baru lahir itu.

“Saya beritahu pada bapa Google itu ada maksud yang baik kerana Google membantu ramai orang. Harapnya Google boleh jadi orang yang berguna”, cerita Andi lagi pada Coconuts Jakarta.

Seperti ibu bapa lain, Ella menegaskan, dia juga mahu anaknya menjadi pemimpin satu hari nanti.

Sekalipun meletakkan nama anak adalah hak ibu bapa, namun pasangan berkenaan tidak terlepas daripada menerima kecaman hanya kerana menamakan bayi mereka sebagai Google.

Bagaimanapun, Andi dan isterinya tidak mengendahkan segala kecaman itu, sebaliknya hanya menerima komen-komen yang baik sebagai doa.