Jambatan kedua Tanjung Lumpur siap Ogos ini

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pembinaan kini hanya membabitkan kerja-kerja kemasan saja.

Pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur, Kuantan, membabitkan kos RM161.43 juta sudah mencapai 81 peratus proses kemajuan fizikal dan dijadualkan siap mengikut perancangan pada Ogos depan.

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pembinaan kini hanya membabitkan kerja-kerja kemasan saja.

“Apabila siap kelak penduduk dari Bandar Putra akan ambil masa 10 minit saja untuk ke pusat bandar berbanding 35 minit sekarang.

“Selain itu, jambatan ini juga dapat mengurangkan kesesakan di jambatan asal Tanjung Lumpur terutamanya pada waktu puncak kerana ia adalah satu-satunya laluan dari Tanjung Lumpur, Kempadang dan Bandar Putra untuk ke pusat bandar,” katanya.

Mohd Anuar berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur, hari ini.

Projek pembinaan jambatan baru sepanjang 451 meter itu bermula dari persimpangan Jalan Pintasan Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih melalui Jalan Sri Kemunting 2 seterusnya merentasi Sungai Kuantan seterusnya ke Jalan Tanjung Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Mohd Anuar memaklumkan projek menaik taraf Jalan Gambang-Segamat yang menjadi laluan utama penduduk Pantai Timur ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menelan belanja RM427.6 juta kini sudah 88 peratus siap.