‘K****g’ dan ‘babi’ – sekolah di Kuantan pula kecoh

Kali ini, seorang guru sekolah menengah didakwa memukul seorang pelajar tingkatan empat berikutan pertengkaran mengenai kerja rumah.

Belum pun 24 jam berlalu selepas kes guru merotan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Iskandar Puteri, Johor berjaya diselesaikan dengan baik susulan pertemuan yang diadakan hari ini, timbul pula kes seumpama itu di Kuantan, Pahang.

Kali ini, seorang guru sekolah menengah didakwa memukul seorang pelajar tingkatan empat berikutan pertengkaran mengenai kerja rumah.

Malaysiakini yang memetik China Press melaporkan, pelajar itu membuat laporan polis pada Selasa lalu dan mengadu bahawa hukuman itu menyebabkan perutnya sakit dan lebam di wajah.

Menurut laporan berita, guru berkenaan mengarahkan murid-murid untuk menyerahkan kerja rumah mereka dan apabila pelajar tersebut memberitahunya bahawa dia telah berbuat demikian, guru itu melemparkan buku latihan ke arah murid tersebut dan kemudian mengarahkannya untuk mengutipnya.

Pelajar itu terus mengulangi bahawa dia telah menyerahkan kerja rumahnya.

Berang dengan tingkah lakunya, guru itu didakwa melabelnya sebagai “k****g” dan memberi amaran akan merotannya. Murid itu membalas dengan memanggil gurunya sebagai “babi” dan mula menendang pintu bilik darjah.

Kekecohan itu menarik perhatian guru lain. Guru itu kemudiannya mengheret pelajar berkenaan ke makmal kimia sekolah.

Di makmal, guru itu dituduh cuba membaling sebuah kerusi logam ke arah pelajar berkenaan.

Apabila pelajar tersebut cuba melarikan diri, guru itu meminta pelajar lain untuk menghalangnya.

Selepas pelajar itu dibawa semula ke makmal, guru itu dikatakan menutup pintu dan mula memukulnya.

Pelajar itu kemudian membuat aduan dengan jabatan pendidikan daerah dan pihak berkuasa sekolah juga menasihatinya untuk memfailkan laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof mengesahkan laporan telah dibuat dan perkara itu sedang disiasat.

Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa guru yang terlibat dalam kejadian merotan seorang pelajarnya di Johor akan menjalani sesi kaunseling.

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua guru dan pelajar, memohon maaf kepada satu sama lain.