Lari rumah sebab merajuk dengan bapa

Mohd. Adam (kanan) dan adiknya, Mohd. Fairus (kiri) ditemui selamat di Surau Flat Jasa Mutiara Rini, Johor Bahru awal pagi hari ini selepas melarikan diri akibat merajuk dengan bapa mereka. Foto oleh MOHAMAD ZIKRI.

PONTIAN – Merajuk selepas dimarahi bapa kerana ponteng sekolah menjadi punca dua beradik melarikan diri dari rumah keluarga di Flat A Taman Megah di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, Mohd. Adam Mohd. Taufik, 16 bersama adiknya Mohd. Fairus, 12, ditemui sedang tidur di Surau Flat Jasa, Mutiara Rini Johor Bahru kira-kira pukul 4.30 pagi hari ini.

Kosmo melaporkan, “Soal siasat awal mendapati kedua-dua pelajar ini menaiki bas dari Perhentian Bas Pontian ke Stesen Bas Larkin, Johor Bahru.

“Mereka kemudiannya menaiki teksi untuk ke Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. Semasa berada di situ, mereka berteduh di kawasan Taman Permainan dan juga surau sehingga ditemui berada di Surau Flat Jasa Mutiara Rini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian, di sini hari ini.

Mustafa berkata, hasil temu bual pelajar berkenaan menjelaskan punca mereka lari disebabkan telah dimarahi bapa mereka kerana tidak hadir ke sekolah.

Selain itu, mereka turut memberitahu sering diganggu oleh rakan sekelas dan rakan sekelas mereka sering bercakap kasar.

Terdahulu pada Selasa lepas, polis menerima laporan kehilangan dua pelajar yang juga pasangan adik beradik.

Kedua-dua pelajar itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Flat A Taman Megah untuk ke sekolah lebih kurang jam 6.30 pagi.

Mohd Adam bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian manakala adiknya Mohd Fairus bersekolah di Sekolah Kebangsaan ( SK) Pontian Besar.