Ditipu percutian ke Jepun, guru rugi RM 60,781

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek membuat tawaran pada bulan Disember lalu ketika menghubungi mangsa melalui kumpulan WhatsApp untuk bertanyakan pakej percutian tersebut.

KUANTAN – Seorang guru berputih mata selepas ditipu RM 60,781 oleh ahli sendiket menawarkan pakej pelancongan dan percutian tidak wujud, setahun lalu.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditipu suspek yang menawarkan diri untuk mengendalikan pakej pelancongan ke Jepun.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek membuat tawaran pada bulan Disember lalu ketika menghubungi mangsa melalui kumpulan WhatsApp untuk bertanyakan pakej percutian tersebut.

Menurutnya, suspek mengatakan kesediaan untuk mengurus dan mangsa bersetuju dan seramai 19 orang yang akan mengikuti percutian tersebut selama empat hari.

“Mangsa kemudian memindahkan wang secara berperingkat sebanyak 11 kali transaksi ke dalam dua akaun suspek bermula Januari sehingga 8 Disember 2018

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dibayar kepada suspek lelaki itu sebanyak RM 60,781,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata, pada awal Disember tahun lalu, mangsa dimaklumkan bahawa pakej percutian berkenaan dibatalkan dan ditukarkan pada 7 Disember 2018.

“Namun, sehari sebelum mereka berlepas, mangsa yang ingin mendaftar masuk mendapati tiket diterima dari suspek tidak wujud di samping tempahan hotel di Jepun juga tidak wujud.

“Mangsa juga terpaksa mengeluarkan duitnya sendiri bagi menampung segala urusan seperti tiket dan hotel untuk peserta selama berada di Jepun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mangsa cuba mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap permasalahan tersebut.

“Mangsa kini gagal menghubungi mangsa kerana nombor telefon dan akaun Facebooknya telah disekat oleh suspek.

“Merasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.