Menteri luar sahkan India mohon ekstradisi ke atas Zakir Naik

Saifuddin berkata, buat masa ini, kerajaan memutuskan untuk tidak menghantar pulang warga India itu walaupun terdapat permohonan ekstradisi tersebut.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa kerajaan telah menerima permohonan ekstradisi ke atas pendakwah Zakir Naik dari India.

Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin berkata, buat masa ini, kerajaan memutuskan untuk tidak menghantar pulang warga India itu walaupun terdapat permohonan ekstradisi tersebut.

“Kita menerima permohonan daripada kerajaan India. Saya tidak ingat bila.

“Buat masa ini, tidak ada keputusan baru, kita masih berpegang pada keputusan asal,” katanya yang dipetik oleh portal FMT.Iklan

Pada 16 Jun, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk menghantar pulang Dr Zakir ke India.

Zakir sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) “hasil jenayah di India dan di luar negara”.

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.