Penulis Timur Daily tawan Gunung Syue, Taiwan

Gunung yang berketinggian 3,886 meter dari paras laut itu ditawan secara berperingkat, dengan peserta pertama tiba sekitar 10 pagi.

Seramai 21 peserta berjaya menawan puncak Gunung Syue, di sini dalam Eskplorasi Gunung Syue 2019.

Turut membanggakan, penulis Timur Daily, Nor Khalilah G Hassan tidak ketinggalan bersama kumpulan pendaki yang sebahagian besar merupakan pengamal media itu berjaya menawan puncak gunung kedua tertinggi Taiwan itu.

Penulis Timur Daily, Nor Khalilah G Hassan sempat merakam gambar dengan pemandangan yang indah di Gunung Syue, Taiwan.

Gunung yang berketinggian 3,886 meter dari paras laut itu ditawan secara berperingkat, dengan peserta pertama tiba sekitar 10 pagi.

Peserta sedang menghampiri puncak Gunung Syue, Taiwan.

Eksplorasi tersebut dianjurkan Kelab Media Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Seramai 15 daripada mereka merupakan pengamal media dengan seorang daripadanya penulis Timur Daily, Nor Khalilah Gusti Hassan

Wakil JBPM yang mengambil bahagian ialah Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad; Ketua Zon 1 Pahang, Nor Arifin Kamari; Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud; Ketua Caw Pengurusan Logistik Roslan Mat Din dan Ketua unit Special Tektikal Operation Rescue Malaysia (STORM) Pahang, Muhamad Haziq Hazmi.

Presiden kelab, Datuk Nik Naizi Husin berkata, eksplorasi ini dirancang sempena memuliakan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah dan juga sempena pertabalan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Peserta bergambar kenangan di puncak Gunung Syue, Taiwan.

Menurutnya, pelbagai cabaran seperti laluan mencabar, berbatu dan banjir lumpur akibat hujan lebat namun tidak sedikitpun mematahkan semangat peserta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Syue.

“Alhamdulillah walaupun trek pendakian begitu sukar dan mencabar, misi ini berjaya membawa amanat Baginda, agar semua peserta bersatu hati dan menjaga nama negara.

“Dalam menyempurnakan pendakian selama tiga hari dua malam itu kami terpaksa menepuh trek yang dipenuhi akar dan selut, laluan berbatu, hutan yang dinamakan black forest dengan ketinggian mencanak, melihat pemadangan gunung ganang yang cantik, melepasi trek bonzai dan bermalam di kabin dengan kemudahan yang amat terhad.

“Segala keperluan makanan dan memasak dilakukan sendiri oleh para peserta secara berkumpulan. Suhu di kabin sekitar 16 darjah celcius namun jatuh sehingga 2° celsius ketika hujan.

“Sewaktu pendakian, ada peserta yang  kekejangan, muntah dan mengalami penyakit gunung, Acute Mountain Sickness (AMS) yang mengakibatkan peserta sakit kepala, pening, mual, mata berpinar, sesak nafas dan mengantuk yang boleh membahayakan situasi ketika berjalan di lereng gunung. Situasi AMS boleh berkekalan sehingga enam dan 48 jam selepas daki.

“Namun, atas kewibawaan dan kecekapan pasukan JBPM terutama STORM, Muhamad Haziq yang beberapa kali melakukan operasi menyelamat bersama rakan media yang berkeupayaan.,” katanya.

Peserta menamatkan pendakian hari ini dan dijangka tiba ke tanah air pada Isnin.

Isnin lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meraikan semua peserta serta melepaskan program ekspedisi pendakian di Istana Negara.

Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung yang pernah didaki ialah Gunung Fan Sifan, Vietnam, Gunung Kerinci, Indonesia, Gunung Pulag, Filipina, Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal dan Gunung Daik, Indonesia.