Peniaga maut tertembak diri sendiri

Adzly berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian isteri mangsa melihat suaminya membawa keluar senjata bersama peralatan mencuci senjata di bahagian beranda rumah.

Seorang peniaga maut tertembak diri sendiri dalam kejadian di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu dekat Sungai Petani hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzly Abu Shah berkata kejadian berlaku pada pukul 5.50 petang ketika mangsa yang berusia 59 tahun itu sedang mencuci senapang patah miliknya di bahagian beranda rumahnya.

Menurut laporan Malaysiakini, Adzly berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian isteri mangsa melihat suaminya membawa keluar senjata bersama peralatan mencuci senjata di bahagian beranda rumah.

“Berselang lima minit kemudian isteri mangsa mendengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat suaminya tersembam di atas lantai, apabila diperiksa didapati mangsa tidak bermaya dalam keadaan memeluk senjata di celah kelangkangnya dan barrel (laras) senjata ke arah dagu,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Beliau berkata berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan yang dialami mangsa dipercayai dia sedang mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi dan kemudian tertembak pada bahagian bawah dagu sebelah kiri.

Adzly berkata siasatan mendapati mangsa turut memiliki lesen pemilikan senjata api bagi tujuan mencegah musuh tanaman dan baharu sahaja memperbaharui lesen pada 25 Jun lepas.

“Kita juga dapati terdapat tiga kelongsong peluru, di luar senjata ada dua kelongsong iaitu satu kelongsong hidup dan satu lagi kosong manakala dalam chamber ada satu kelongsong hidup,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

– Bernama