Rantai anak macam anjing

Pendakwa raya Luhansk berkata, lelaki itu sudah kehilangan hak penjagaan terhadap mangsa dan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana mendera dengan maksimum hukuman penjara lima tahun.

Mangsa ditemui dalam keadaan dirantai - FOTO AGENSI

Kiev: Polis menemui seorang kanak-kanak lelaki dirantai dalam keadaan melutut seperti anjing oleh bapanya di sebuah rumah di Aidar-Mykolaivka, baru-baru ini.

Budak berusia enam tahun itu ditemui dalam keadaan melutut dengan rantai besi melilit pinggangnya apabila polis menyerbu rumah itu selepas menerima aduan daripada ibu bapa rakan mangsa.

Harian Metro memetik laporkan Daily Mail berkata, mangsa menceritakan sering didera dan dirantai bapanya kepada beberapa rakan yang mendedahkan perkara itu kepada ibu bapa mereka.

Ketika disoal siasat, bapa mangsa berusia 36 tahun mengakui memukul anaknya kononnya sebagai pengajaran.

MANGSA sering didera bapanya. FOTO Agensi

Pendakwa raya Luhansk berkata, lelaki itu sudah kehilangan hak penjagaan terhadap mangsa dan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana mendera dengan maksimum hukuman penjara lima tahun.

Mangsa sudah menjalani pemeriksaan di hospital Novoaidarsky dan akan dipindahkan ke rumah anak yatim.

“Kanak-kanak itu tidak akan dikembalikan kepada bapanya dan kini diberi bantuan psikologi oleh doktor,” katanya.

Mangsa pernah diambil oleh pihak kebajikan, namun dibenarkan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu menceraikan isterinya dan berkahwin dengan pasangan baru.