Dewan Rakyat lulus usul wajibkan ahli parlimen isytihar harta

Rang undang-undang itu diterima walaupun pada sebelumnya pembangkang bangkit berbahas untuk menolaknya. Antara lain mereka mendakwa usul itu tidak selari dengan peraturan dewan.

Dewan Rakyat meluluskan usul untuk mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing selepas tiada bantahan dibuat semasa undian.

Malaysiakini melaporkan, rang undang-undang itu diterima walaupun pada sebelumnya pembangkang bangkit berbahas untuk menolaknya. Antara lain mereka mendakwa usul itu tidak selari dengan peraturan dewan.

Selepas hampir lima jam dibahaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat penggulungan sebelum Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof membuta undian suara.

Apabila Mohamad Ariff bertanya sama ada usul tersebut dipersetujui, kedengaran anggota parlimen menjeritkan: “Setuju!” sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun tiada suara yang tidak bersetuju kedengaran apabila beliau bertanya kalau ada anggota Dewan Rakyat yang menolaknya.

“Tidak ada suara yang tidak bersetuju,” kata beliau yang kemudian menangguhkan sidang untuk hari ini.

Untuk rekod, undian yang berlangsung tidak dicatatkan secara individu kerana tiada permintaan kepada dewan agar ia dijalankan secara belah bahagi.

Awal hari ini, pembangkang berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa undang-undang yang cukup untuk mewajibkan ahli parlimen mengisytiharkan harta.

Sementara Ahli Parlimen PAS Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan beberapa ahli parlimen pembangkang lain berikrar untuk tidak mengisytiharkan harta meskipun usul itu diluluskan.

Dalam jawapan bertulisnya, Liew berkata langkah kerajaan selari dengan peruntukan di bawah Klausa 27 Peraturan Mesyuarat yang membenarkan usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tambahnya, langkah berkenaan merupakan sebahagian usaha PH untuk membendung rasuah seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya.

Liew juga berkata sejumlah 10 ahli parlimen PH yang menyertai gabungan itu baru-baru ini, selain Ahli Parlimen Sandakan yang baru Vivian Wong belum mengisytiharkan harta.

Jelas Liew, kerajaan mahu ahli parlimen mengisytiharkan harta setiap dua tahun.

Selepas usul itu diluluskan hari ini, ahli parlimen diberikan tempoh tiga bulan sehingga 1 Okt untuk mengisytiharkan harta mereka.

Di bawah usul sama yang mula berkuat kuasa hari ini, ahli parlimen yang didapati membuat pengisytiharan palsu akan tertakluk di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 yang membawa penjara maksimum tiga tahun penjara dan denda sekiranya didapati bersalah.

Ahli parlimen yang gagal mengisytiharkan harta akan dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.