Elok Khazanah Nasional ditukar kepada Khazanah International – Zahid

Walaupun tidak menyangkal keupayaan mereka, bekas timbalan perdana menteri itu menyoal sama ada tidak ada rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memperlekehkan pelantikan eksekutif dari China menyertai lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd.

Malaysiakini melaporkan, katanya, walaupun beliau tidak menyangkal keupayaan mereka, bekas timbalan perdana menteri itu menyoal sama ada tidak ada rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Hari ini Khazanah Nasional lantik dua warga China sebagai lembaga pengarah. Kami sebagai rakyat tak sangkal lantikan itu secara individu kerana mereka dilihat layak.

“Namun tidak cerdikkah rakyat Malaysia di zaman Malaysia Haru Biru ini? Eloklah Khazanah Nasional ditukar kepada Khazanah International,” ciapnya di Twitter.

Semalam, Khazanah mengumumkan bahawa pengasas SenseTime Profesor Xiao’ou Tang dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan Tencent Holding Company Limited Lau Seng Yee akan dilantik menyertai lembaga pengarah dana pelaburan negara itu.

Tang adalah warga China manakala Lau pula adalah rakyat Malaysia.

SenseTime adalah syarikat kecerdasan buatan (artificial intelligence) antarabangsa yang berpusat di Hong Kong sementara Tencent adalah sebuah syarikat global yang terbabit dalam perkhidmatan dan produk Internet, hiburan, kecerdasan buatan dan teknologi.

Zahid juga berkata bahawa sebelum Pakatan Harapan menerajui negara, ia begitu kritikal terhadap penglibatan kerajaan BN dengan China.

“Sebelum 9 Mei 2018 apa sahaja libatkan China seakan alahan oleh Pakatan Harapan. (BN) bawa pelaburan pun diheboh jual negara. 

“Proton adalah mangsa airmata paling besar konon dijual kepada China tapi hari ini ramai puji Proton X70 yang boleh bercakap,” ciapnya.