Gejala buang bayi membimbangkan, ada yang tak ‘beres’ dalam masyarakat kita

Sementara kita selalu bangga dan sering mendendangkan tentang adab sopan, budaya dan akhlak ketimuran yang berbudi namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Saya menonton dokumentari menarik di sebuah saluran televisyen tempatan yang bertajuk Made In Asia: The Real Lion.

Dokumentari berkenaan mengisahkan tiga orang wanita yang merupakan anak angkat dan membesar di UK.

Mereka kembali ke India bagi mencari ibu bapa kandung namun pencarian mereka berakhir dengan kegagalan yang menghibakan.

Antara alasan mereka diserahkan sebagai anak angkat ialah kerana kelahiran di luar perkahwinan (out of wedlock birth).

Mereka diserahkan samada kepada institusi ditubuhkan oleh mendiang Mother Theresa dan juga di International Mission Of Hope seterusnya institusi ini akan ‘mencari’ pasangan yang mahu memiliki anak angkat.

Dalam tempoh beberapa hari sebelum itu, Bernama memaparkan infografik seperti tertera tentang pembuangan bayi di negara kita.

Infografik Bernama

Saya melihat gejala ini dengan sedih dan hiba kerana statistik menunjukkan hanya 30 peratus bayi yang dibuang dan dijumpai masih bernyawa.

Ertinya tidak sampai separuh bayi yang tidak berdosa itu dapat meneruskan hidup.

Bagi saya ini suatu tragedi dan menunjukkan ada yang sangat tidak ‘beres’ dalam masyarakat kita.

Sementara kita selalu bangga dan sering mendendangkan tentang adab sopan, budaya dan akhlak ketimuran yang berbudi namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Sesungguhnya, bunyinya agak kasar dan keras, kita sebenarnya mempunyai masyarakat yang sakit – a sick society yang jika tidak segera di sembuhkan akan menjerumuskan masyarakat serta negara ke lembah yang lebih hina.

Apakah moral compass kita? Kita cenderung menuding jari, menyisihkan, blame game yang kebiasaanya anak gadis atau kaum wanita yang dipersalahkan.

Melabelkan dan meletakkan stigma yang buruk lagi hodoh bukannya menjadi sebahagian dari penyelesaian itu sendiri.

Sesungguhnya ini menyedihkan dan mensudutkan mereka yang terlanjur itu sehingga berfikir singkat yang berakhir dengan tragedi pembuangan bayi sekali gus menyebabkan kematian (yang boleh dielakkan) bayi comel yang suci itu.

Sudah sampai masanya tragedi seumpama ini tidak menjadi bertambah parah malah semua peringkat masyarakat perlu memainkan peranan dengan belas ihsan, empathy, simpati dan kasih sayang kepada mereka yang hamil di luar perkahwinan.

Bantu mereka dengan pengertian yang sesungguhnya tanpa prejudis, menyisihkan atau menghina dan stigma kepada mereka.

Dalam masa sama kita perlu memperkasakan pendidikkan agama dan akhlak kepada anak-anak kita agar mereka tidak terjerumus dalam budaya hedonisme atau pergaulan bebas.

Bagaimana pun, kita sebagai orang tua dan sebagai ahli masyarakat juga wajar berperanan, dengan kepala dingin, bersama membantu agar kes pembuangan bayi ini tidak lagi berlaku.

Saya berkeyakinan sesungguhnya dengan iltizam dan kejujuran kita boleh membantu mereka yang terlanjur ini sekali gus boleh menyembuhkan ‘sakit’ yang melanda masyarakat kita hari ini.

Mudah-mudahan.

Ahmad Nizam Hamid
Penulis merupakan pengamal undang-undang dan aktivis sosial.

Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily.