Amanah persoal gelaran ‘Datuk’ Ketua Dewan Ulama Pas

Akta 787 melarang mana-mana individu menerima dan menggunakan sebarang anugerah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dan Akta 787 memperuntukkan penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan.

Selepas Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Zawawi Salleh menolak sahutan dialog dengan dua individu yang mahu mewakili Pakatan Harapan atas alasan tidak sama level, Pemuda Amanah tampil mempersoalkan dari mana gelaran ‘Datuk’ yang digunakannya.

Malaysiakini melaporkan, Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, keengganan Nik Zawawi untuk tidak berdebat dengan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin atas alasan tidak setaraf amatlah memeranjatkan.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila kenyataan angkuh itu keluar daripada mulut seorang yang bergelar ulama apatah lagi pemimpin dewan ulama PAS pusat. 

“Umum tertanya-tanya adakah darjat Nik Zawawi terlalu tinggi sehinggakan dia berasa tidak setaraf untuk berdebat dengan Wan Ji?

“Walhal Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sendiri pernah berforum sepentas dengan Wan Ji,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Hasbie (foto, atas) mengulas isu tawaran dialog berkaitan “fatwa” wajib jatuhkan kerajaan PH yang dinyatakan Nik Zawawi sebelum ini.

Terdahulu kenyataan berkenaan ditegaskan anggota Parlimen Pasir Puteh itu pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, baru-baru ini.

Susulan itu Nik Zawawi menawarkan dialog terbuka dengan wakil PH berkait isu tersebut dengan syarat ia dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen dan Wan Ji antara individu terawal menyahut tawaran itu tanpa sebarang syarat.

Namun, Nik Zawawi bagaimanapun menyifatkan Wan Ji (foto, bawah) tidak setaraf dan mahu meneruskan dialog tersebut dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof. 

Sementara itu Hasbie berkata, pihaknya menggesa Nik Zawawi agar mendedahkan status gelaran ‘Datuk’ yang dipakainya.

“Kita nak tahu gelaran itu dianugerahkan oleh Istana atau kerajaan mana.

“Berdasarkan carian di laman sesawang Bahagian Istiadat & Urusetia Persidangan Antarabangsa, tiada rekod nama Nik Zawawi menerima sebarang darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ atau Datuk yang sah walhal beliau menggunakan gelaran Datuk secara berleluasa,” katanya.

Tambah ketua pemuda Amanah Terengganu itu, Akta 787 melarang mana-mana individu menerima dan menggunakan sebarang anugerah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dan Akta 787 memperuntukkan penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Penggunaan gelaran Datuk palsu atau gelaran yang tidak diiktiraf oleh kerajaan adalah suatu yang memalukan dan tidak berintegriti,” katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Nik Zawawi bagi menjelaskan persoalan tersebut.