Premis makanan di Temerloh dilarang guna bekas polisterene

Merujuk pada keratan surat yang dikongsi di media sosial, ia ditujukan kepada peniaga makanan termasuk pekan sehari dan kantin sekolah dalam kawasan MPT.

Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) melarang peniaga menggunakan bekas polisterene sebagai bekas makanan dan minuman bermula 1 Julai lalu.

Merujuk pada keratan surat yang dikongsi di media sosial, ia ditujukan kepada peniaga makanan termasuk pekan sehari dan kantin sekolah dalam kawasan MPT.

Keratan surat yang dikongsi di media sosial.

Menurut surat berkenaan, Mesyuarat Majlis Penuh, MPT Bil. 2/2019 bertarikh 25 Mac 2019 telah bersetuju menguatkuasakan larangan penggunaan bekas polisterene sebagai bekas makanan atau minuman di semua premis makanan atau minuman di kawasan MPT.

Ia bertujuan memelihara kesihatan pengguna dan mengelakkan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan bekas berkenaan.

Surat itu turut menjelaskan larangan dibuat sebagai tindakan pendidikan atau perubahan bermula pada tarikh surat hingga 30 Jun manakala dikuatkuasakan mulai 1 Julai.

MPT turut menggariskan tiga perkara untuk dipatuhi peniaga terlibat:

  • Memberhentikan penggunaan bekas polisterene sebagai bekas makanan atau minuman di premis atau tapak perniagaan masing-masing.
  • Menggunakan bekas makanan atau minuman dari bekas yang dibuat dari bahan yang bersesuaian selain dari bekas diperbuat dari bahan polisterene.
  • Penguatkuasaan larangan penggunaan bekas makanan atau minuman yang diperbuat dari bahan polisterene bagi aktiviti perniagaan penjaja sementara Bazaar Ramadhan, Aidil Fitri dan Aidil Adha akan bermula semasa aktiviti perniagaan berkenaan tahun 2019 melibatkan semua tapak di kawasan MPT.