Wanita bersalin atas kerusi akibat pintu pagar utama jeti berkunci

Wanita dari kawasan Bukit Kinyau dekat Tanjung Manis itu yang sudah hampir hendak bersalin tiba di jeti terminal itu menggunakan perahu yang dikemudi suaminya kira-kira jam 11.50 malam.

Seorang wanita terpaksa melahirkan anak di Terminal II Bot Ekspres di Jalan Wharf, Sarikei malam tadi, apabila pintu pagar utama terminal itu dikunci.

Berita Harian Online yang memetik Bernama melaporkan melaporkan, wanita dari kawasan Bukit Kinyau dekat Tanjung Manis itu yang sudah hampir hendak bersalin tiba di jeti terminal itu menggunakan perahu yang dikemudi suaminya kira-kira jam 11.50 malam.

Ketua Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Naruddin, berkata seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu pada jam 11.56 malam.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, anggotanya bertindak memotong mangga pagar terminal sebelum membawa wanita terbabit ke Hospital Sarikei untuk menerima rawatan susulan.

Katanya, ketika itu wanita berkenaan sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di atas kerusi terminal berkenaan.

“Wanita berusia 22 tahun yang sarat mengandung itu dalam perjalanan ke Hospital Sarikei dengan menaiki bot ditemani suaminya.

“Bagaimana pun, mereka terpaksa singgah di Terminal II Ekspress Sarikei kerana kesuntukan masa untuk bersalin, tambahan pula lokasinya lebih dekat berbanding sebuah lagi terminal ekspres yang berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun katanya, pasangan suami isteri itu berdepan detik cemas apabila pagar terminal berkenaan berkunci dan terpaksa menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.