PKR pecat Haziq

Selepas dibincangkan, Ahmad berkata, lembaga menyerahkan cadangan agar dia dipecat kepada Biro Politik PKR.

Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, dipecat daripada parti itu hari ini.

Mengumumkan keputusan tersebut, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim, berkata pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan dalam mesyuarat biro politik parti itu sebentar tadi.

Malaysiakini melaporkan, Ahmad berkata, Lembaga Disiplin PKR meneliti surat jawapan yang dihantar Haziq bertarikh 2 Jul 2019.

Selepas dibincangkan, katanya, lembaga menyerahkan cadangan agar dia dipecat kepada Biro Politik PKR.

“Antara alasannya ialah, beliau membuat tuduhan secara terbuka terhadap pemimpin parti membabitkan salah laku rasuah tanpa bukti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam ini.

Ahmad juga berkata PKR memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan mengenai isu berkenaan.

Antara pemimpin PKR yang hadir pada mesyuarat malam ini ialah anggota parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil,, Shamsul Iskandar (Hang Tuah Jaya), Akmal Nasir (Johor Bahru) dan Syed Husin Ali (bekas timbalan presiden PKR).

Bagaimanapun, Ahmad enggan mengulas lanjut mengenai alasan kedua yang membawa kepada pemecatan bekas setiausaha sulit kanan timbalan menteri industri utama itu.

“Hal-hal lain seperti dalam maklumat, kita menunggu hasil siasatan pihak polis dan kita tak boleh melangkaui siasatan polis,” katanya.

Pada 12 Jun, Haziq mengakui dirinya terlibat dalam hubungan seks sejenis dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali selepas satu rakaman video menjadi tular.

Haziq mendakwa rakaman itu dibuat tanpa keizinannya.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Beliau yang juga timbalan presiden PKR tidak hadir dalam mesyuarat hari ini.

Ahmad berkata Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan itu tanpa memihak kepada sesiapa.