Elak diri bersikap seperti ‘tuhan’

Ingat, jangan hanya kerana dia berserban dan berjubah maka akhirnya dia ke syurga dan yang menjadi pelacur dilorong gelap neraka menjadi tempatnya.

Topik yang paling menarik untuk dibincangkan oleh masyarakat kita adalah bila kisahnya terkait rapat dengan mereka yang boleh digelar selebriti mengikut lapangan sendiri.

Terlebih lagi bila berkait penghijrahan dari suatu perubahan yang pada tanggapan awam sesuatu yang baik. Kata mereka itulah kembali kepada fitrah.

Sebagai rakyat yang suka memerhati, saya seronok melihat perkembangan Safiey Ilyas terkini.

Dari dulu pun penulis sentiasa mengikuti perkembangannya. Cuma siapa Safiey Ilyas dulu bukanlah “magnum opus” karya kali ini, biarkanlah masa lalu seseorang itu jadi memori tanpa perlu dibangkitkan siapa dia dahulunya.

“Kami jelaskan yang demikian itu supaya kamu jangan berduka cita kepada apa yang telah hilang daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira kepada apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka orang yang sombong dan membangga diri.” Surah Al-Hadid, ayat 23.

Seharusnya sebagai masyarakat yang sering diingatkan tentang ketamadunan kita wajar memposisikan diri kita sebagai ahli yang suka kepada sesautu yang baik tanpa perlu bertanya siapa mereka dahulu.

Akibat tekanan kita yang mungkin dilakukan oleh individu lain yang bias menjadi suatu tekanan kepada mereka yang mahu membina semula kehidupan yang baru.

Paling penting ialah kita perlu mengelakkan diri dari bersikap seperti “tuhan”. Jangan sewenang-wenangnya menjatuhkan syurga neraka orang lain hanya kerana kita mempunyai ilmu agama.

Ada sesuatu yang diungkap dalam sebuah video yang dimuat naik oleh Safiey Ilyas yang menyebut walau sebesar zarah pun iman seseorang janganlah sesuka hati untuk kita mengkafirkannya. Bukankah rahmat Allah itu luas?

“Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa”. (Al-An’aam: 147).

Masyarakat juga perlu berperanan sebagai pemudah bagi permulaan setiap semangat baru. Namun perlu diingat agar publisiti yang tidak berlebihan diberikan.

Lihat bila ada saja yang “berhijrah” mereka akan menjadi tamu kepada setiap rancangan TV. Bukanlah sesuatu yang salah tetapi setiap jemputan harus ditapis hingga berarah kepada sasarannya bukan sekadar menaikkan jumlah tontonan semata.

Jarang saya menulis artikel seperti ini untuk menceritakan tentang seseorang individu. Namun kisah Safiey Ilyas ini sudah awal diikuti dan terbaharu kisahnya semakin menarik dan mencabar.

Saya sendiri sering dipertemukan tuhan dengan insan seperti Safiey Ilyas. Pastinya susur sejarah kisah mereka hampir sama.

Proses mereka itu sebenarnya tanggungjawab kepada kita sebagai masyarakat dan manusia. Meletakkan isu ini pada segelintir orang dengan yang bahagian besar yang lain lebih memilih menjadi “tuhan” tidak akan membuahkan hasil yang tuntas.

Allah jadikan kita berbagai-bagai sudah pasti ada tujuannya.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat, ayat ke 13.

Ingat, jangan hanya kerana dia berserban dan berjubah maka akhirnya dia ke syurga dan yang menjadi pelacur dilorong gelap neraka menjadi tempatnya.

Kepada ibu dan bapa yang mempunyai anak yang dipencil masyarakat, jangan pernah putus asa dan mengalah. Tidak mustahil pun nanti anak seperti ini yang akan pimpin tangan kita ke jalan yang baik.

Terus menjadi manusia yang baik.

Muhammad Syafiq Azmi
Pengerusi ARM
Aspirasi Rakyat Marhaen

Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily.