Kakitangan SUK NS ‘berasap’ di kawasan larangan merokok

Seakan tidak melakukan kesalahan, mereka terus menghisap rokok tanpa menghiraukan keadaan sekeliling biarpun terdapat beberapa wanita di kawasan itu yang menutup hidung kerana tidak selesa dengan perbuatan tersebut.

Biarpun tertera papan tanda ‘Dilarang Merokok, Zon Bebas Asap Rokok dan Vape’ di kafeteria Wisma Negeri, namun masih ada yang berdegil dan tanpa rasa bersalah melakukan perbuatan itu.

Sinar Harian melaporkan, tanpa segan silu, sekumpulan lelaki dipercayai kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan ini, menghembuskan asap rokoknya di dalam kafeteria tersebut yang juga terdapat beberapa pelanggan lain sedang makan dan minum di situ.

Seakan tidak melakukan kesalahan, mereka terus menghisap rokok tanpa menghiraukan keadaan sekeliling biarpun terdapat beberapa wanita di kawasan itu yang menutup hidung kerana tidak selesa dengan perbuatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad,ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap aduan tersebut.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak atasan, mereka tidak sepatutnya merokok di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Teguran dan tindakan lanjut sekurang-kurangnya amaran akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat jika mereka adalah kakitangan SUK,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, tersebar beberapa gambar sekumpulan lelaki yang memakai kemeja berlogo kerajaan negeri dipercayai kakitangan SUK merokok dalam kafeteria Wisma Negeri itu biarpun terpapar papan tanda larangan merokok di kawasan itu.