Isytihar harta idea komunis, Anwar sangkal Hadi

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, Abdul Hadi perlu menunjukkan teori Das Kapital yang mana menyebut ada peruntukkan isytihar harta itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isytihar harta itu sebagai teori komunis dan sosialis.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, Abdul Hadi perlu menunjukkan teori Das Kapital yang mana menyebut ada peruntukkan isytihar harta itu.

Sinar Harian melaporkan, katanya, cadangan pengisytiharan harta itu penting bagi memastikan harta yang dimiliki itu diperolehi secara halal dan jalan yang betul.

“Kalau kita enggan isytihar orang akan tanya, kenapa mereka (Pas) takut untuk isytihar harta, sedangkan mereka yang cakap pasal ketelusan, anti rasuah, tetapi bila minta isytihar beliau pula bagi alasan kata idea komunis.

“Bila kita buat mengisytiharan harta, kita akan dapat kesan salah guna kuasa yang berlaku dikemudian hari, itu tujuan Dr Mahathir meminta supaya anggota pentadbiran dan parlimen untuk isytihar harta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua-Ketua dan Timbalan cabang PKR Negeri Sembilan dan Melaka, semalam

Tambahnya, langkah kerajaan untuk melaksanakan undang-undang mewajibkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta adalah untuk memastikan kekayaan yang mereka perolehi adalah secara telus.

“Kalau isytihar harta untuk bermewah dan berbangga tentulah ditolak, tetapi ini untuk pastikan harta diperoleh secara halal dan teratur, serta tiada salah guna kuasa.

“(Maknanya) tidak ambil tanah, balak, saham atau projek, tidak kira sama ada dia dari parti UMNO, PKR, DAP atau Pas,” katanya.