Cantum tanah Felda jadi ladang besar

Pengurusan sedemikian diamalkan estet besar milik orang asing sejak zaman pentadbiran British.

Kerajaan merancang tanah-tanah peneroka Felda dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dan dengan cara yang lebih profesional, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pengurusan sedemikian diamalkan estet besar milik orang asing sejak zaman pentadbiran British.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, ia membolehkan pemilik ladang masih memperoleh keuntungan walaupun marginnya kecil kesan daripada kejatuhan harga komoditi dan tanaman yang diusahakan, selain tidak perlu bergantung kepada subsidi kerajaan.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata usaha meyakinkan peneroka Felda untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya dalam kalangan generasi pertama yang kini berusia lebih 60 tahun.

“Mereka sudah menjadi peneroka sejak awal dan untuk menukar mindsetmereka susah. Tapi mereka adalah pemilik tanah dan kalau kita boleh mendapat kawasan yang lebih luas untuk diuruskan oleh mereka yang profesional, kita yakin boleh mengeluarkan lebih banyak hasil.

“Pendapatan boleh dibahagikan mengikut luas kawasan tanah yang disumbangkan.

“Mereka (peneroka) boleh bekerja dengan pengurusan ladang atau mendapat keuntungan hasil mengikut tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di Rompin, Pahang hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Mohd Bakke Salleh; Pengarah Besar Felda, Dr Othman Omar, dan Ketua Peneroka Felda Sulong, Jamil Mohamed Shariff.

Bantu rantaian makanan negara

Dr Mahathir berpandangan rancangan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan dan untuk tujuan itu, Felda akan melaksanakannya di mana-mana kawasan tanah rancangan yang mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 404 hektar.

Pengurusan Felda juga, kata perdana menteri, tidak boleh hanya bergantung kepada tanaman kelapa sawit atau getah seperti diamalkan sekarang supaya pendapatan golongan peneroka tidak terjejas jika berlaku kejatuhan harga komoditi berkenaan.

“Kawasan yang dicantumkan besar kemungkinan menjadi 1,000 atau 2,000 ekar (bersamaan 404 atau 808 hektar) dan daripada jumlah itu, mungkin kita boleh ambil 80 hektar untuk tanam tanaman lain… seperti kita lihat di Pahang, tanahnya subur, tembikai serta nenas boleh ditanam di sini.

“Kita hendak elak daripada terlalu bergantung kepada tanaman tunggal dengan menaman tanaman yang mempunyai permintaan lebih besar dalam dan luar negara selain membantu rantaian bekalan negara,” katanya.

Mengulas mengenai jenis tanaman yang sesuai untuk model baru Felda itu, Dr Mahathir berkata pengurusan akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sebagai contoh, beliau berpandangan Kedah dan Perlis sesuai untuk tanaman mangga yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya, selain tanaman bunga yang mempunyai harga tinggi di pasaran.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan ribuan peneroka Felda, Dr Mahathir berkata pengurusan agensi itu perlu disusun semula supaya dapat ditadbir oleh golongan profesional seperti diamalkan pengurusan estet berskala besar bagi membolehkan Felda memperoleh keuntungan yang tinggi.

“Kita lihat bagaimana ladang ini memberikan pendapatan yang baik apabila diuruskan dengan baik. Bagaimanapun kita dapati pada masa akhir ini berlaku perbuatan tidak menguntungkan Felda sama sekali.

“Sekarang ini, kita menanggung hutang yang banyak kerana banyak urusan yang dibuat (sebelum ini) telah menyeleweng selain mereka juga melakukan perkara yang tidak diizinkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata Felda membuka tanah lebih 404,685 hektar, yang merupakan antara kawasan perladangan terbesar di dunia, namun masih tidak mampu untuk memberi pendapatan tinggi kepada peneroka berikutan pengurusannya yang berbeza dengan cara pengurusan estet besar.

Sehubungan itu, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memberi pendapatan lebih baik kepada peneroka menerusi rancangan kegunaan tanah lebih luas untuk memberi hasil lebih baik dengan tanaman yang pelbagai.

Perdana menteri turut mengumumkan peruntukan RM637 juta bagi pelaksanaan tiga projek di Pahang iaitu tangki imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari (JLH) di kawasan perindustrian Gebeng bernilai RM173 juta dan Loji Rawatan Air Semambu Fasa 3 berkapasiti 145 JLH (RM446 juta) kedua-duanya di Kuantan serta projek mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di Raub (RM18 juta).

– Bernama