Tun M: Infrastruktur RM637 juta untuk rakyat Pahang

Beliau berkata, tiga projek itu ialah pembinaan tangki imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dengan kos RM173 juta.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan RM637 juta bagi tiga projek infrastruktur di Pahang yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Harian Metro melaporkan, Beliau berkata, tiga projek itu ialah pembinaan tangki imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dengan kos RM173 juta.

“Projek kedua ialah pembinaan loji rawatan air Semambu fasa tiga berkapasiti 145 juta liter sehari di Kuantan dengan kos RM446 juta.

“Seterusnya bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Raub, kerajaan akan melaksanakan projek untuk mengatasi masalah itu dengan kos RM18 juta,” katanya ketika Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3, Rompin, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Mohd Bakke Salleh dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar.

Dr Mahathir berkata, sebagai sebuah kerajaan prihatin, keperluan infrastruktur perlu dilaksana bagi memastikan rakyat hidup selesa dan menikmati kemudahan terbaik.

Sementara itu, Dr Mahathir turut meminta petani di negara ini merebut peluang mempelbagaikan tanaman atas kesuburan tanah dengan mengusahakan tanaman seperti nanas, durian dan sayur-sayuran.

“Jika rakyat sedar ada bekas pemandu lori yang tanam nanas di kawasan tanah 20 hektar dan kini dia tidak bergantung kepada sesiapa untuk raih pendapatan, dia juga boleh menjadi jutawan,” katanya.