Johor pula kekal had umur belia hingga 40 tahun

Pejabat menteri besar Johor dalam kenyataan berkata pendirian itu diambil bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka khusus melibatkan belia tidak terbantut.

Selepas Selangor dan Sarawak, kerajaan negeri Johor pula memutuskan untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

Malaysiakini melaporkan, Pejabat menteri besar Johor dalam kenyataan berkata pendirian itu diambil bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka khusus melibatkan belia tidak terbantut.

“Selain itu, kebanyakan pelbagai dana bantuan yang diperkenalkan kerajaan mengguna pakai had umur 18 hingga 40 tahun,” kata kenyataan tersebut.Iklan

Jelasnya, belia yang berumur sehingga 40 tahun merupakan kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan.

“Ini seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang merupakan ciri serta citra orang muda.

“Malah, pada peringkat umur ini, literasi politik mereka juga stabil, selain merupakan masa yang sesuai untuk membentuk mereka menjadi pemimpin pelapis masa hadapan,” jelas kenyataan tersebut.

Minggu lalu Dewan Rakyat meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ dengan menurunkan had umur maksimum golongan itu daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Bagaimanapun kerajaan Selangor dan Sarawak mengumumkan untuk mengekalkan had umur sehingga 40 tahun bagi belia.