Penganggur disyaki cabul kanak-kanak tiga tahun ditahan

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek berusia 38 tahun itu disyaki melakukan perbuatan tersebut terhadap kanak-kanak yang diasuh isterinya.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditahan di rumahnya di Gombak, Sabtu lalu.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek berusia 38 tahun itu disyaki melakukan perbuatan tersebut terhadap kanak-kanak yang diasuh isterinya.

“Polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada Sabtu selepas perbuatan suspek diceritakan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 13 Julai bagi membantu siasatan dan mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.- Bernama