Wanita maut dihempap pokok

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata mangsa bersama kakaknya keluar dari rumah keluarga mereka selepas solat Maghrib untuk ke bandar Jerantut dengan menaiki kereta terbabit.

JERANTUT: Penjawat awam maut selepas kereta Perodua Viva dinaikinya dihempap pokok berhampiran Masjid Kampung Lata Kasah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, Farah Liana Safri, 27, dari Kampung Sungai Badak di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

BH melaporkan, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata mangsa bersama kakaknya keluar dari rumah keluarga mereka selepas solat Maghrib untuk ke bandar Jerantut dengan menaiki kereta terbabit.

“Apabila tiba di hadapan masjid itu, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menimpa kenderaan dipandu kakak mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut mendapati punca kematian akibat kecederaan pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut yang tiba di lokasi menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.