Had umur belia Pahang kekal 15-40

Exco Belia, Sukan, NGO dan Sumber Manusia Pahang, Datuk Sri Mohd Johari Hussain berkata, kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688) yang antara lain telah menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengambil keputusan mengekalkan had umur belia di negeri antara 15 tahun hingga 40 tahun.

Sinar Harian melaporkan, Exco Belia, Sukan, NGO dan Sumber Manusia Pahang, Datuk Sri Mohd Johari Hussain berkata, kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688) yang antara lain telah menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

“Bagaimanapun, terdapat perbezaan dalam demografi di antara Pahang dengan Kerajaan Pusat serta negeri lain yang perlu diambil kira apabila membuat pertimbangan ini, terutamanya dari segi peralihan kepimpinan dan perancangan penggantian dengan mengambil kira aspek teras pembangunan belia dan mekanisme-mekanisme yang disediakan kepada belia dalam had umur tersebut.

“Sehubungan itu, kerajaan Pahang berpandangan untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun. Pendirian ini diambil bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka, khusus melibatkan pembangunan belia di negeri ini dapat diteruskan perlaksanaannya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Johari berkata, sebagai kerajaan yang prihatin kepada golongan muda, adalah penting untuk melaksanakan dasar-dasar secara progresif dan menyelaras berpandukan polisi.

Menurutnya, mengubah takrifan umur maksimum belia ke 30 tahun dan menurunkan had umur layak mengundi ke 18 tahun adalah langkah yang agak progresif dan ia mungkin memerlukan masa untuk penyesuaian.