Pengurusan kes dadah anak Mat Sabu 8 ogos

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan berkata memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen kepada pihak pembelaan.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam menetapkan 8 Ogos untuk pengurusan kes dadah melibatkan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Malaysia kini melaporkan, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan berkata memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen kepada pihak pembelaan.

“Pihak pendakwaan memohon agar satu tarikh bagi pengurusan kes serta penetapan tarikh bicara kes ini,” kata Timbalan Pendakwa Raya Mohd Joseindra Abu Senin seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ahmad Saiful diwakili peguam bela Nasar Khan Mirbas Khan.

Dia ditahan di sebuah pusat hiburan di Hotel W di Jalan Ampang pada awal pagi 5 Januari lalu setelah positif ganja dalam serbuan Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dia dihadapkan ke mahkamah pada 13 Jun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diberi ikat jamin RM3,000.

Mengikut pertuduhan terhadapnya, dia didakwa memberikan diri sendiri dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol9-carboxylicacid atau THC ke dalam badan di tandas pusat hiburan tersebut.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.