Undian atas talian: Majoriti mahu Chef Wan pulang anugerah

Hanya 42 peratus daripada 898 pengguna Twitter berpendapat Chef Wan tidak perlu memulangkan semula anugerah Tokoh Ikon Felda 2019 yang diterimanya manakala 58 peratus berpendapat sebaliknya.

Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan perlu memulangkan Anugerah Tokoh Ikon Felda 2019 yang diterimanya Ahad lalu.

Demikian keputusan yang dipaparkan melalui undian yang dijalankan Sinar Harian menerusi laman Facebook yang menunjukkan 79 peratus daripada 11,000 pengguna telah memilih supaya Chef Wan memulangkan anugerah itu.

Malah undian yang dijalankan dalam laman Twitter Sinar Harian juga menunjukkan keputusan hampir sama.

Hanya 42 peratus daripada 898 pengguna Twitter berpendapat Chef Wan tidak perlu memulangkan semula anugerah Tokoh Ikon Felda 2019 yang diterimanya manakala 58 peratus berpendapat sebaliknya.

Anugerah yang diberikan kepada Chef Wan itu menimbulkan rasa kurang senang ramai selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak menjaga sensitiviti masyarakat Felda.

Antara yang lantang membantah keputusan tersebut adalah Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan yang turut cakna dengan undian dijalankan Sinar Harian bermula malam kelmarin.

Menurutnya, sebagaimana keputusan undian berkenaan, begitulah juga pendapat beliau yang disuarakan dalam media tempatan sejak beberapa hari lepas.

“Saya tengok ramai suruh pulang, memang itu yang kita suarakan dalam kenyataan media saya kepada semua media tempatan. Memang saya minta supaya anugerah ini dipulangkan kembali kepada Felda.

“Dengan keceluparan apa yang dia sampaikan, ia tidak mencerminkan bahawa dia anak peneroka yang sesuai untuk menerima anugerah itu,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, Chef Wan tidak sepatutnya melontarkan pandangan negatif kepada peneroka Felda apatah lagi ia dinyatakan tanpa disertai hasil penyelidikan.

“Apa pun tindakan Chef Wan yang mengkritik secara terbuka peneroka Felda dan hanya berdasarkan generalisasi umum, bukannya hasil penyelidikan sebenarnya adalah sesuatu yang tidak perlu dilontarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ditanya adakah kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tersilap membuat keputusan yang akhirnya mencetuskan kontroversi, beliau merasakan ia bukanlah salah PH.

“Ini bukan salah PH, ini kesilapan Chef Wan secara individu,” ujarnya.

Chef Wan generasi kedua Felda yang berjaya membawa nama negara ke seluruh pelosok dunia menerusi masakan dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019 baru-baru ini.

Beliau menerima pengiktirafan itu daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang.

“Saya generasi Felda Sungai Koyan di Lipis…gembira bila menerima pengiktirafan ini kerana merasakan usaha saya selama 35 tahun dalam bidang masakan dihargai sehingga ke peringkat ini.

“Ia juga menjadi ruang untuk saya menyumbang kembali kepada Felda dan mungkin boleh memberi nasihat dan pandangan demi kemajuan dan pembangunan Felda kerana nilainya begitu sentimental kepada saya,” kata Chef Wan.