Warga emas maut nahas tiga kenderaan

BERA – Seorang warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 30 Jalan Temerloh – Bahau, di sini hari ini.

Kosmo melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, warga emas lelaki berbangsa Cina, Lui Siong Kuan, 69, dari Triang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian berlaku apabila sebuah pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu oleh Siong Kuan telah hilang kawalan sebaik melalui selekoh di lokasi kejadian.

“Toyota Hilux dari arah Kerayong ke Triang itu telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Kancil sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Avanza milik Pejabat Kesihatan Daerah Bera.

“Pacuan empat roda itu kemudiannya melanggar tiang elektrik di bahu jalan dan pemandunya disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dua mangsa yang berada di dalam MPV dan pemandu Perodua Kancil mengalami kecederaan di kepala dan bahu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk bedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ujian air kencing terhadap semua mangsa turut dilakukan.