Dipukul selepas di tangkap mencuri

Menurutnya, remaja yang sudah tidak bersekolah itu dipercayai dipukul oleh dua lelaki termasuk pemilik kedai runcit berkenaan selepas berjaya ditangkap ketika memecah masuk premis tersebut.

BALIK PULAU – Seorang remaja cedera di bahagian belakang badan selepas dipercayai pecah masuk sebuah kedai runcit di Simpang Empat di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek berusia 13 tahun mengalami calar-balar di belakang dan beberapa bahagian badannya dipercayai dipukul menggunakan getah paip dan rotan.

Menurutnya, remaja yang sudah tidak bersekolah itu dipercayai dipukul oleh dua lelaki termasuk pemilik kedai runcit berkenaan selepas berjaya ditangkap ketika memecah masuk premis tersebut.

“Dalam kejadian Rabu lalu, suspek dari Pondok Upeh dipercayai masuk kedai runcit tersebut melalui bumbung bersama lima rakannya.

Menurut laporan Sinar Harian, Bagaimanapun, kesemua rakannya itu berjaya melarikan diri manakala dia ditahan lalu dipukul tiga lelaki di luar kedai berkenaan.

“Selepas menerima maklumat, polis ke tempat kejadian dan menahan suspek. Suspek kemudian dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk menjalani pemeriksaan termasuk ujian x-ray. Suspek dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan, beberapa hari sebelum kejadian itu, salah seorang rakan suspek dikatakan berjaya masuk ke dalam kedai runcit itu dan mengambil rokok serta kad tambah nilai.

“Ujian air kencing suspek didapati negatif selain tiada rekod jenayah lampau. Difahamkan suspek dibuang sekolah di sini sebelum kejadian. Dua lelaki yang memukul suspek telah ditahan hari ini untuk siasatan dan kemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes diklasifikasikan selesai dan disiasat mengikut Seksyen 447/324 Kanun Keseksaan. Saya menasihatkan kepada orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana suspek,” katanya.

Anbalagan berkata, ibu suspek turut membuat laporan polis pada hari sama kerana tidak berpuas hati anaknya dipukul sehingga perlu mendapatkan rawatan.

“Ibu suspek mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada jam 8 pagi hari sama selepas dimaklumkan pihak hospital.

“Tidak berpuas hati anaknya dipukul teruk sehingga terpaksa dirawat di Wad Kecemasan Hospital Balik Pulau, dia membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.