Sokong usia 18 tahun boleh mengundi tetapinya…

Jika seseorang individu tidak berkeinginan untuk mendaftar sebagai pengundi, ia adalah hak, amalan dan kebebasan demokrasi itu sendiri.

Saya secara peribadi menyokong usaha rakyat Malaysia usia layak mengundi bermula 18 tahun tetapi tidak menyokong sistem daftar mengundi secara automatik.

Atas alasan, pertama; sistem demokrasi pada saya terpakai juga pada sistem daftar pengundi.

Jika seseorang individu tidak berkeinginan untuk mendaftar sebagai pengundi, ia adalah hak, amalan dan kebebasan demokrasi itu sendiri.

Alasan kedua, kesedaran membuang undi. Di mana menjadi tanggungjawab bersama untuk terus menyedarkan pengundi akan pentingnya pengundi.

Jika individu itu sudah didedahkan dengan kesedaran mengundi tetapi tidak mahu mendaftar mengundi, ia tidak menjadi salah orang lain kerana itu adalah kesalahan individu tersebut.

Sama juga jika tidak mendaftar sebagai pengundi merupakan keputusannya sendiri, itu merupakan hak individu tersebut dalam amalan demokrasi.

Alasan ketiga, celik politik. Berapa ramai remaja seawal umur 18 tahun celik akal terhadap politik itu sendiri?

Perlu diingatkan, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjadikan mereka celik politik. Mana-mana individu yang belum celik politik, mereka akan sedar juga akan kepentingan politik, dalam tempoh mereka tidak celik politik, biarkan mereka dengan tanggapan dan kesedaran mereka.

Alasan keempat, suara pengundi. Kita mahukan suara tulen pengundi, kita tidak mahukan peratusan tidak keluar mengundi dipengaruhi oleh sistem daftar mengundi secara automatik.

Bermaksud, individu yang tiada keinginan untuk mengundi mempengaruhi statistik mengundi. Pada aspek suara dan hak rakyat pula, mereka layak mendapat keistimewaan sebagai warganegara walau tidak mengundi kerana mereka juga merupakan agen perkembangan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Alasan kelima, bersediakah intelektual remaja berumur 18 tahun untuk mengamalkan demokrasi di Malaysia?

Saya ulangi, saya menyokong usia layak mengundi diawalkan kepada 18 tahun tetapi bukan sistem daftar mengundi automatik.

Omar Tuah
Mahasiswa

Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily.