Teruja dapat ambil gambar harimau kumbang di LPT2

Perkara itu dikongsikan lelaki dikenali sebagai MNoor Arifin dalam laman Facebook miliknya sambil menyifatkan kejadian tersebut sebagai detik bersejarah apabila berpeluang melihat harimau kumbang yang merupakan spesis terancam.

Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mendakwa terserempak dengan seekor harimau kumbang ketika melalui lebuh raya itu untuk ke Janda Baik di Pahang, baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan lelaki dikenali sebagai MNoor Arifin dalam laman Facebook miliknya sambil menyifatkan kejadian tersebut sebagai detik bersejarah apabila berpeluang melihat harimau kumbang yang merupakan spesis terancam.

Mnoor Arifin turut berkongsi tiga keping gambar haiwan berkenaan yang sempat diambil dari jarak jauh.

“Mudah-mudahan harimau kumbang ini dapat mencari habitat asalnya. Ada sesiapa yang pernah terserempak juga ke? Mungkin ada tetapi tak sempat ambil gambar kan,” katanya dalam catatan itu.

GAMBAR jarak jauh harimau kumbang yang sempat diambil lelaki dikenali sebagai MNoor Arifin ketika me
GAMBAR jarak jauh harimau kumbang yang sempat diambil lelaki dikenali sebagai MNoor Arifin ketika melalui LPT2 pagi ini. – UTUSAN ONLINE/ Facebook MNoor Arifin

Setakat pukul 6 petang ini, catatan lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu di sini mendapat lebih 1,000 tanda suka di samping 663 komen dan 538 perkongsian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan dan meminta orang ramai agar memaklumkan segera kepada Perhilitan jika terserempak dengan haiwan semasa melalui LPT2.

“Maklumat itu penting bagi membolehkan kita mengambil tindakan susulan sekiranya ada kejadian pagar bocor dan sebagainya.

“Apa pun saya minta orang ramai berhati-hati ketika memandu di LPT2 kerana kemungkinan risiko haiwan melintas,” katanya.

Katanya, sebarang aduan haiwan melintas, pandangan atau cadangan boleh menghubungi Perhilitan Terengganu di talian 09-6221460. – UTUSAN ONLINE