Rimas bau asap

Penduduk, Mohd Azlan Hashim, 39, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan ladang sawitnya di Felda Panching Utara terbakar sejak minggu lalu.

KUANTAN: Penduduk Felda Sungai Panching di sini, kesal dengan pihak tidak bertanggungjawab membakar sisa tandan sawit di dalam ladang hingga menyebabkan berlakunya pencemaran asap.

Harian Metro melaporkan, Penduduk, Mohd Azlan Hashim, 39, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan ladang sawitnya di Felda Panching Utara terbakar sejak minggu lalu.

“Hasil tinjauan di ladang ada timbunan sisa tandan sawit yang dipercayai dibuang syarikat kontraktor yang dilantik kilang sawit penyebab berlakunya kebakaran.

“Saya tidak mengetahui kewujudan sisa tandan sawit yang ditimbun itu hingga berlakunya kebakaran di dalam ladang. Pihak yang terbabit tidak memaklumkan kepada saya sisa tandan dibuang dalam ladang ini,” katanya.

Sebelum itu, beberapa penduduk kampung bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya dan Pengurus Felda Sungai Panching Utara, Abdul Samad Harun melawat ladang terbakar itu.s

Mohd Azlan berkata, setakat ini, kebakaran itu tidak menjejaskan keseluruhan ladangnya kerana berlaku di kawasan tertentu, tetapi boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Sementara itu, Mohd Tarmizi berkata, pengurusan Felda berbincang dengan syarikat kilang sawit bagi mengelak kejadian begini berulang pada masa hadapan.

“Masalah ini menimbulkan kegusaran bukan sahaja kepada peneroka terbabit, sebaliknya kepada penduduk setempat. Kebakaran ini boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada masyarakat di kawasan berhampiran dan jika dibiarkan, pokok sawit mungkin mati,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Samad berkata, pihaknya berjumpa dengan pengurusan kilang sawit bagi membolehkan syarikat kontraktor dilantik menyelesaikan masalah ini.

Katanya, bomba dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka meminta kontraktor meratakan timbunan sisa tandan sawit ini bagi mengelak asap tebal.