Ketua MIC Paya Besar maut dilanggar

Siasatan forensik mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah dan kemek di kepala.

Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Ramesh Ganesan, 50, ditemui mati di tepi jalan berhampiran Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dekat Gebeng di sini, kira-kira jam 10.55 malam, tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan forensik mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah dan kemek di kepala.

“Polis percaya, mangsa maut akibat dilanggar kenderaan lain di luar kenderaan. Jenis kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti. Siasatan dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Ramesh Ganesan

“Ini berdasarkan kecederaan fizikal mangsa yang kemek di bahagian kepala. Setakat petang ini polis tidak menerima sebarang laporan bersabit kemalangan di lokasi kejadian dan ia menjurus kepada langgar lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, sebentar tadi.

Mohamad Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 10.55 malam dekat Sungai Ular itu, mayat Ramesh dijumpai orang awam pada jarak 20 meter dari kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya.

Mohamad Noor turut tidak menolak kemungkinan mangsa dilanggar di luar kenderaannya sebelum rebah dan maut di tempat kejadian.

Tambah beliau, kenderaan milik mangsa juga tidak mempunyai kesan perlanggaran dan beg serta kad pengenalan mangsa ditemui dalam kenderaan.

“Lokasi kejadian berdekatan semak, jauh dari perumahan, sangat gelap, tiada kamera litar tertutup jalan dan dipercayai ketika kejadian berlaku hujan. Ini kerana ketika polis tiba, jalan masih basah,” katanya.

Pihaknya masih meneruskan siasatan bagi melihat sebarang kemungkinan dan pada masa kini, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Sebagai rekod, Ramesh pernah menjawat Ketua Pemuda MIC Pahang selama 15 tahun sebelum memegang jawatan Ketua MIC Bahagian Paya Besar pada 2018 sehingga kini.

Pengerusi MIC Pahang, V.Arumugam yang ditemui media di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkata, mendiang merupakan pemimpin yang rajin mendekati masyarakat sepanjang berkhidmat selama lebih 20 tahun.

“Dia kuat bekerja , rajin dan memang aktif dalam parti dan setiap kali mesyuarat memang dia bagi komitmen penuh bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar.

Tambahnya, kali terakhir bertemu mangsa ialah ketika mesyuarat konvensyen MIC Pahang di Temerloh Jun lalu.

“Dahulu dia Ketua Pemuda MIC Pahang dan pada 2018 dia memegang jawatan Ketua MIC Bahagian Paya Besar.

“Dia turut memegang jawatan sebagai Pegawai Perhubungan untuk MIC sebelah timur dan memang lebih popular berbanding orang lain. Tak pernah tak datang mesyuarat. Rajin.

“Kali terakhir bertemu tiada sebarang perubahan ditonjolkan,” katanya.