Asri: Nilai semula kedudukan Tommy Thomas

Dr Maza turut menggesa kerajaan menilai semula kedudukan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang dilantik selepas PRU14 lalu.

Ekoran tindakan keluarga Allahyarham Adib mengheret Peguam Negara, Tommy Thomas ke mahkamah, ia telah mengundang reaksi Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.

Melalui akaun Facebooknya, Dr Maza telah membuat hantaran pendek yang mempersoalkan wujudnya keraguan dalam pelbagai isu telah dibangkitkan tentang Tommy Thomas.

Beliau turut menggesa kerajaan menilai semula kedudukan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang dilantik selepas PRU14 lalu.

“Banyak keraguan dalam pelbagai isu telah dibangkitkan tentang Peguam Negara kita. Untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan kita, pihak kerajaan perlu menilai semula secara objektif kedudukan beliau,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut laporan Astro AWANI, bapa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) berhubung kes inkuiri anaknya.

Peguam mewakil keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab memaklumkan perkara itu kepada Koroner Rofiah Mohammad ketika sesi prosiding inkues berlangsung pada Selasa.

Difahamkan, permohonan untuk memulakan sesi komital itu telah difailkan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Sesyen.

“Permohonan itu sudah difailkan pagi tadi,” katanya dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib, memasuki hari ke-40.

Peguam, Mohd Zubir Embong yang mewakili keluarga Muhammad Adib menjelaskan ia berhubung afidavit yang dikemukakan oleh Peguam Negara yang mengatakan kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul.

“Inkues nak cari sebab tapi dia (Peguam Negara) dah bagi sebab terlebih dahulu sebelum keputusan Mahkamah Koroner dan perkara satu penghinaan terhadap mahkamah”, katanya ketika ditemui selepas selesai sesi prosiding pada Selasa.

Permohonan itu telah dihantar awal pagi selasa kepada wakil Peguam Negara dan Koroner Rofiah Mohammad turut memaklumkan kepada mahkamah untuk meneliti permohonan itu.