Pahang belanja RM6.7 juta ketika bencana sejak 2015

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bermula 2015, kos perolehan di 105 Pangkalan Hadapan bagi tahun itu dan 2016 adalah RM1.58 juta.

KUANTAN – Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM6.72 juta bagi menampung kos perolehan di 445 Pangkalan Hadapan yang dibuka ketika bencana, sejak 2015 hingga 2019.

Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bermula 2015, kos perolehan di 105 Pangkalan Hadapan bagi tahun itu dan 2016 adalah RM1.58 juta.

Menurutnya, pada 2016 dan 2017, sejumlah RM1.6 juta dibelanjakan bagi 107 pangkalan manakala RM1.70 juta bagi tahun 2017 dan 2018 untuk 116 pangkalan dan RM1.79 juta untuk 117 pangkalan bagi tahun 2018 dan 2019.

“Jumlah itu menjadikan keseluruhan perbelanjaan sejak 2015 adalah RM6.72 juta. Bagi tahun 2018 dan 2019, daripada 117 pangkalan hadapan dan 664 pusat pemindahan telah dikenal pasti seluruh Pahang.

“Dengan jumlah pengkalan hadapan dan pusat pemindahan yang besar ini sudah tentu pengurusan yang lebih teratur dan cekap, efisien dan bijak diperlukan di kalangan petugas-petugas pengurusan bencana di setiap daerah di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan ADUN Bukit Ibam, Datin Shamsiah Arshad.

Datin Shamsiah Arshad ditemui selepas Majlis Penutupan Seminar Jawatankuasa Pusat Pemindahan Bencana di Zon Timur (Kuantan, Pekan dan Rompin) di Wisma Belia Indera Mahkota di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun menerusi Tabung Amanah Malapetaka yang diwujudkan bagi kegunaan pengurusan bencana yang berlaku setiap tahun di seluruh negeri Pahang.

Menurutnya, peruntukan sebanyak ini digunakan untuk persediaan kemudahan bekalan makanan kering dan keperluan lain di setiap Pengkalan Hadapan seluruh daerah negeri ini.

“Peruntukan ini juga digunakan untuk menyediakan keperluan makanan basah dan keperluan keperluan lain di pusat-pusat pemindahan yang dibuka ketika bencana.

“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang kersana terlibat secara langsung dalam Seminar Jawatankuasa Pusat Pemindahan Bencana di negeri ini bagi memantapkan ilmu berkaitan pusat pemindahan serta pengurusan bekalan barang keperlua bencana di setiap Pengkalan Hadapan dan pusat pemindahan,” katanya.