Pas saran PH segera bubar parlimen

Pelbagai perkembangan termasuk perebutan kuasa menunjukkan pimpinan PH hanya mementingkan jawatan dan tidak menghiraukan keluh kesah kehidupan rakyat yang semakin tertekan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya membubarkan segera Parlimen kerana mereka terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.

Malaysiakini melaporkan, katanya, pelbagai perkembangan termasuk perebutan kuasa menunjukkan pimpinan PH hanya mementingkan jawatan dan tidak menghiraukan keluh kesah kehidupan rakyat yang semakin tertekan.

“Kerajaan perlu bubar parlimen beri mandat baru supaya negara lebih stabil dan rakyat lihat masa depan lebih teratur.

“Kalau suasana kekal begini pelabur pun hilang keyakinan,’ katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Tuan Ibrahim juga dipetik sebagai berkata pertembungan terbuka antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali memburukkan lagi keadaan.

“Pergolakan PH bukan sahaja membabitkan PKR tetapi termasuk di Sabah ada ahli parti Bersatu keluar dan masuk Umno semula, dan ada antara parti komponen tidak stabil.

“Termasuk juga isu nak isytihar siapa perdana menteri, kita nampak dalam keadaan rakyat susah ini masing-masing berebut nak jadi menteri, jadi tidak beri fokus masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya persediaan PAS dan Umno jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, beliau berkata pihaknya tidak ada masalah sekalipun pembubaran berlaku esok.

“Suasana sudah tidak stabil, kita tidak ada pilihan, tidak perlu tunggu tiga tahun. Esok pun boleh, Insya-Allah PAS dan Umno bersedia bila-bila masa,” katanya.

Pergeseran antara Anwar dan Azmin, semakin memuncak dengan sekumpulan enam pengerusi negeri parti itu hari ini tampil untuk menyatakan sokongan kepada presiden parti.

Semalam, 27 pemimpin kanan termasuk 4 anggota parlimen dan dan lapan Adun PKR yang menyokong Azmin mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Mereka berkata Anwar perlu segera menggembleng perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara.

Pada masa sama, mereka menegaskan untuk bersama dengan Azmin, yang kini dikaitkan dengan klip video seks melibatkan hubungan asmara sejenis.

Sebelum ini timbul desas desus bhahawa perbalahan mereka ada kaitan dengan siapa yang wajar menggantikan Dr Mahathir Mohammad sebagai perdana menteri seterusnya.