Demi anak, bapa derma sebahagian hatinya

Romizan Alang Bahari, 38, bakal menjalani pembedahan tersebut bersama anaknya, Nur Syafiqa Damia Romizan, 11, selepas lulus ujian pemeriksaan yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada awal bulan ini.

Seorang lelaki sanggup mendermakan sebahagian hati kepada anaknya yang menghidap penyakit hati kronik atau biliary atresia dalam satu pembedahan dijangka 6 Ogos ini.

Sinar Harian melaporkan, peniaga, Romizan Alang Bahari, 38, bakal menjalani pembedahan tersebut bersama anaknya, Nur Syafiqa Damia Romizan, 11, selepas lulus ujian pemeriksaan yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada awal bulan ini.

Keputusan itu menyaksikan penantian 11 tahun Romizan dan isterinya Norazlina Ramli, 39, dari Felda Jengka 20 untuk anak sulungnya, Nur Syafiqa selepas sebelum ini mereka terpaksa menunggu hati daripada penderma lain yang meninggal dunia.

“Saya sudah bersedia dan hanya menunggu detik ini demi anak. Walaupun berdebar saya hanya mahukan anak sihat seperti kanak-kanak lain.

“Memang selama ini saya tidak sangka bapa boleh berkongsi hati dengan anak jadi saya bersemangat dan ini sinar baharu buat kami sekeluarga. Saya nekad mendermakan sebahagian hati untuk Nur Syafiqa,” katanya.

Romizab berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia 86 hari dan menjalani pembedahan membuang hempedu serta terpaksa berulang-alik ke hospital dalam tempoh tersebut.

“Buat masa ini berat badan anak perlu mencapai 25 kilogram ke atas sebelum liver transplant dijalankan dan sekarang ini tinggal 23 kilogram.

“Jika Nur Syafiqa benar-benar fit dan sedia, pembedahan kami dijangka dijalankan pada 6 Ogos depan,” jelasnya.

Namun kerisauan tetap menyelubungi keluarga itu selepas dimaklumkan kos pembedahan dijangka mencecah kira-kira RM120,000.

“Memang pihak PPUM ada beritahu untuk bantu dapatkan dana daripada pihak berkaitan selain sumbangan daripada keluarga dan rakan-rakan prihatin.

“Selama ini saya hanya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan selain isteri bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh. Walaupun isteri penjawat awam tetapi tak semuanya percuma selain memerlukan kos rawtan selepas pembedahan nanti.

“Jika dana itu gagal diperoleh saya dan isteri pun buntu selain memang selama ini keluarga dan rakan-rakan prihatin yang banyak membantu,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam: 0603 7023 00 3572 atas nama Romizan Bin Alang Dahari.