Wanita maut jatuh ketika mendaki Bukit Batu Condong

Syarfalili Saharir, 31, mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh di kawasan berbatu di bukit tersebut.

Seorang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah akibat terjatuh di kawasan berbatu sewaktu melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Condong, Kemensah, Selangor hari ini.

Kosmo Online melaporkan, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.12 pagi sebelum sepasukan lapan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang pergi ke lokasi yang kemudiannya tiba di laluan masuk trek pendakian kira-kira 17 minit kemudian.

“Mangsa, Syarfalili Saharir, 31, mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh di kawasan berbatu di bukit tersebut.

“Anggota bomba kemudiannya membawa mangsa turun ke kaki bukit dengan menggunakan pengusung dan dibantu oleh 18 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) melalui trek yang dianggarkan sejauh 4 Kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.

Kosmo! difahamkan, mangsa memulakan pendakian kira-kira pukul 7.30 pagi bersama tiga lagi rakannya sebelum terjatuh.

Menurut Norazam, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit kira-kira pukul 3.20 petang dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. – K! ONLINE