Kebakaran Sungai Isap: Jiran sukar masuk kerana rumah berkunci

Kebakaran kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan tiga beranak maut selepas dipercayai terperangkap.

Jiran tiga beranak yang maut akibat kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di Kuantan, Pahang memberitahu mereka sukar masuk ke rumah itu kerana keadaannya berkunci.

Malaysiakini yang memetik Bernama melaporkan, Abdul Rahim, 59, berkata dia yang baru pulang dari solat Subuh di masjid segera bergegas ke rumah yang didiami lapan beranak itu apabila melihat api mula membakar rumah tersebut.

“Saya mendapati pintu pagar dikunci, namun berjaya mencari ruang yang boleh dimasuki di hujung pagar tapi pintu rumah juga dikunci, menyebabkan kami mengambil masa yang agak lama sebelum dapat masuk.

“Kami hanya boleh menyelamatkan lima orang walaupun memang tahu rumah itu didiami lapan orang.

“Kami dah tidak dapat masuk ke rumah kerana api begitu marak, menyebabkan keadaan tidak selamat untuk kami,” katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Abdul Rahim berkata rumah itu didiami dua keluarga, namun agak kurang dikenali kerana baru menyewa di situ.

Kebakaran kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan tiga beranak maut selepas dipercayai terperangkap. 

Cuba sedaya-upaya

Mereka ialah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad Adam Daniel, 7.

Kebakaran juga menyebabkan tiga yang lain parah, seorang cedera ringan dan seorang lagi kanak-kanak tidak cedera.

Kejadian yang dipercayai bermula di bahagian tengah rumah mangsa, juga melibatkan tiga lagi buah rumah berhampiran.

Sementara itu, Norhaminuddin Zakaria, 44, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata dia mendengar bunyi letupan menyebabkan dia keluar rumah untuk memeriksa keadaan.

“Saya lihat api dari dalam rumah mangsa menyebabkan saya segera mengeluarkan ayah yang lumpuh ke tempat selamat sebelum kembali ke rumah mangsa untuk membantu jiran yang sedang berusaha masuk ke rumah itu.

“Tapi api marak begitu cepat dan keadaan begitu kelam-kabut. Kami cuba untuk sedaya upaya untuk menyelamatkan seramai yang boleh, namun diberitahu ada tiga yang maut,” katanya.

– Bernama